Didik Anak bukan macam ternak Lembu
Bismillahirrahmanirrahim..syukur saya masih berkemampuan untu menulis di dalam catatan kecil ini. Semoga pelawat2 blog yang tak jemu2 berkunjung ke sini sihat belaka.
Saat terdengar khutbah Jumaat hari ini, hati terpanggil untuk menulis entri ini.Walaupun ramai yang sedia maklum dengan mungkin sebahagian daripada informasi yang saya kongsikan ini, saya tetap ingin kongsikannya dengan kalian semua.
Didik anak bukan macam ternak Lembu.Pernah anda lihat Lembu? Pernah lihat orang menternak Lembu? Bagaimana agaknya keadaannya? Senang? atau susah? saya kira dah tak ada yang senang dalam dunia ni.Semuanya bermula dengan susah barulah jadi senang.Lihat sahaja Allah cipta manusia.Sebelum kita boleh berjalan dan berlari seperti hari ini, adakah kita tak pernah melalui saat kesukaran?
Bohonglah jika anda jawab tidak!
Kita melalui pelbagai peringkat sebelum boleh berjalan seperti hari ini.Sejak kecil kita mula meniarap,merangkak, bertatih, sehingga beberapa kali terjatuh barulah kita berjalan dan berlari bukan?
Sebagai seorang ibu dan bapa, usaha mendidik anak sudah semestinya terletak pada bahu mereka. Kerana sejak lahir, merekalah yang paling akrab dan terdekat dengan anak-anak.Sedar atau tidak, proses pendidikan anak sebenarnya bermula sejak seawal kehamilan lagi.
Pernah terdengar ungkapan ' Menjaga Lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang' ? Mengapa agaknya?
Bayangkanlah Lembu itu boleh juga ditambat, dihambat.Kalau anak perempuan takkanlah hendak ditambat dan dihambat.Tiba masa makan, dihambat, mandi dihambat, tidur dihambat dengan rotan. Lalu untuk mengelakkan dia berkeliaran , ditambat di dalam rumah.Dikurung supaya tak ada mata-mata jahat melihat, tak ada anak-anak lelaki nakal hendak mengorat.Menjaga anak perempuan BUKAN setakat hendak beri makan pakai, bila sudah kenyang, sudah sihat, gemuk2 macam lembu boleh dijual! Auratnya kenalah dijaga, pergaulan perlu dibataskan antara bukan muhrim, maruah perlu dipelihara, agama dan akhlak perlu sempurna.
Kerana sukarnya (ujian) menjaga anak perempuan itu, Rasullullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa memiliki tiga orang anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka nescaya Allah s.w.t akan memasukkan mereka ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA."
Berbalik kepada fokus sebenar bukan hanya menyentuh isu memelihara anak perempuan.Bukan juga isu Lembu.Entri ini memfokus terhadap cara didikan anak-anak mengikut tahap umurnya berdasarkan SUNNAH RASULLULLAH.
Tahap 1 (0-6 tahun)
Pernah saya terlihatkan seorang ibu yang menempelak anaknya yang baru berusia dua tiga tahun kerana kenakalannya.Menyebabkan anak itu ketakutan lalu menangis.Malah kadang kala pada usia anak semuda ini juga ada golongan bapa yang sering menjauhi mereka kerana kesibukan kerja. Sering mengenepikan hak anak-anak. Sudahnya, anak-anak menjadi takut, renggang, jauh hati dan tidak mesra dengan ibubapa.Jangan salahkan anak-anak anda jika mereka lebih rapat dengan pengasuh, nenek dan datuk mereka atau mungkin saudara mara anda yang lain hanya kerana anda langsung tidak ada masa untuk mereka!
Ada pula sesetengah ibu suka menyebut2 :
" Anak saya ni memang degil sedikit."
"Anak saya ni memang penakut sedikit."
"Dia ni memang nakal!".
Ketahuilah, tanpa sedar percakapan seorang ibu itu adalah doa.Apa salahnya jika anda menyebut yang elok2 tentang anak anda.Sekaligus mendoakan mereka menjadi yang terbaik.
Tahap 2 (7-14 tahun)
Pada peringkat ini lazimnya anak-anak sudah dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan formal di bilik darjah.Mereka sudah mula berinteraksi dan bergaul dengan banyak orang.Minda mereka juga semakin berkembang dengan sifat ingin tahu.Anda perlu mula memberikan arahan, untuk mendisiplinkan mereka dan mendidik mereka supaya lebih bertanggungjawab.Anak pada tahap ini perlu dilatih supaya mentaati agama, perintah dan larangan Allah.
Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.Kerana jika buluh sudah menjadi rebung, semuanya tak berguna lagi.Kerana itu juga Allah s.w.t telah memerintahkan supaya anak-anak diajarkan solat ,berpuasa, dan mengaji seawal usia ini.Tahap umur sebegini juga sesuai untuk mendisiplinkan anak agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.Kerana itu juga Pada usia begini ada anak-anak dihantar ke asrama untuk mengajar mereka berdikari, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Ada ibu bapa suka mencarut dan bercakap benda2 kotor di depan anak-anak.Mungin disebabkan pelaziman itu juga, anak-anak seusia ini mudah meniru percakapan tersebut.Ada juga antara mereka meniru daripada percakapan seharian rakan.Tekankan kepada anak, mengapa percakapan buruk sebegitu tidak elok diamalkan, beri rasional kepada larangan itu.Cubalah sedaya upaya mendisiplinkan anak.Jangan hanya berharap pada guru di sekolah.
Ia adalah darah daging anda.Buruk baiknya adalah tanggungjawab anda.Guru hanya pemudah cara, sebagai alat untuk menyampaikan ilmu dan didikan kepada anak anda.Ibubapalah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masa depan anak-anak.
Sekiranya anak-anak berjaya melepasi semua ujian pada tahap ini, nescaya dia akan menjadi remaja yang sihat dan berjaya .
Tahap 3 (15-21 tahun)
Tahap umur sebegini lazimnya anak-anak lebih gemar meniru, terikut-ikut.Kadang kala mereka terjebak dalam pelbagai masalah di sekolah, dengan kawan-kawan, dan mereka sentiasa mengharapkan perhatian.Pada usia ini mereka memerlukan rakan yang amat dipercayai untuk berkongsi segala pandangan, pendapat, citarasa, dan menceritakan masalah mereka.Jadikan teman paling akrab dengan anak-anak anda.Berkongsi rahsia dan nasihati mereka perlahan-lahan.Hargai pendapat dan pandangan mereka jika ada rasionalnya.Selagi tidak menyalahi syariat dan batas agama , sokong dan beri galakan kepada mereka.Jika anda rasa mereka berbuat salah, tegurlah secara berhemah.Dekati mereka dengan baik dan buat mereka percaya bahawa andalah rakan paling boleh dipercayai dan boleh diharapkan oleh mereka.
Terdapat sesetengah ibubapa yang langsung tak mehu mendengar pendapat anak-anak, tidak mengambil tahu permasalahan anak sehingga anak terjebak dengan rakan bermasalah.Demi mencari penyelesaian akhirnya mereka memilih jalan yang salah dengan mengikut rakan yang salah.
Kes lari dari rumah mengikut teman lelaki, kes gejala sosial, sebahagiannya terjadi kerana anak-anak tidak mendapat perhatian dan sokongan dari ibu bapa.Mereka mengambil jalan mudah dengan menceritakan masalah kepada rakan yang hanya mahu mengambil kesempatan di atas kesempitan anak-anak.Lalu terjebak.
Tahap 4 (21 tahun ke atas)
Pada usia ini, anak-anak sudah bijak membuat keputusan.Mereka sudah menjejak alam dewasa dan matang dalam membuat keputusan.Namun , bimbingan dan pantauan ibubapa juga perlu diberikan dari jauh.
p/s- Entah kenapa anak2 perempuan mama saya semuanya memang sudah jadi hobi ,suka menceritakan masalah,pada mama.Kalau ada masalah kadang2 siap nangis2 depan mama dan mama dengan lembut memujuk sambil membebel memberikan nasihat.Walaupun kadang-kala bebelan dan nasihat yang diberikan tak membantu menyelesaikan masalah sangat tapi kami rasa puasa dan lega setelah mengongsikannya dengan mama.Kalau jauh, kami sanggup telefon dan mengadu pada mama asalkan dapat luahkan semua.
Setiap kali kami berkumpul, atau pulang melawat mama, tak kiralah sewaktu cuti sekolah, cuti semester di universiti, cuti bekerja , kami akan bercerita kehidupan kami kepada mama dan mama tetap mendengar tanpa jemu.
Hatta sesudah berkahwin dan ada antara kami yang sudah beranak-pinak, mama tetap tempat mengadu.Bagi saya, mamalah rakan baik paling rapat, kaunselor terbaik yang pernah saya ada walaupun mama tak pernah ada Degree in Counselling.Mama is the Best for me!